MW: Ling Yang | Baling Melayang!
- Mingguan Wanita
- Dec 7, 2016
- 2 min read

Situasi begini bukanlah janggal lagi dalam masyarakat pada hari ini. Serba-serbi berkira sampaikan suami isteri pun tidak boleh bertolak ansur. Itulah kuasa duit. Macam-macam boleh berlaku jika tidak kena dengan gaya. Bercerita tentang duit pasti ramai yang seronok. Ada duit semua sayang, tak ada duit semua hilang. Sedih bukan tapi itulah realiti dunia masa kini. Lagi pula dalam rumah tangga, duit memainkan peranan yang penting bagi memastikan rumah tangga sentiasa aman dan sejahtera. Cinta sahaja belum cukup untuk meletakkan perkahwinan pada landasan yang stabil. Ambil masa bertenang dan tanya pada diri. Bolehkah cinta memberi kita makan? Kalau begitu cukuplah ungkapan Aku Cinta Padamu maka perut kenyang, fikiran pun tenang. Jika demikian, mudah benarlah perkahwinan. Bermodalkan madah cinta maka semuanya jadi lancar sepertimana yang diharapkan. Secara tidak langsung ia menjadi satu berita gembira buat romeo-romeo di luar sana.

Tinggalkan seketika hal ini dan kita lencongkan sedikit berkenaan kongsi kewangan. Persoalannya, adakah wujud istilah ini dalam rumah tangga. Bukankah ‘duitku hanya untukku’ sementara ‘duitmu juga duitku’. Adilkah kepada pasangan yang berhempas pulas bekerja seharian sedangkan kita senang-senang mengenakan syarat bahawa wang gajinya adalah milik kita sepenuhnya. Bukan setakat itu sahaja, apabila minta ‘di payung’ sedikit mulalah mulut mengungkit mengatakan suami tidak berhak ke atas wang isteri. Ya, kenyataan itu benar tetapi tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dipraktikkan tolong-menolong dalam rumah tangga. Bukankah molek rupanya dari terus bertekak hingga hendak terkeluar anak tekak. Akhirnya, masing-masing tarik muka empat belas kerana tiada tolak ansur dan rasa belas melihat kesusahan. Imbas kembali konsep perkahwinan yang dipelajari ketika mengikuti kursus rumah tangga suatu ketika dahulu. Ingatkah apa yang ditekankan ketika itu?

Ya, persefahaman dan toleransi. Suami dan isteri sifatnya melengkapi. Harus saling bertolak ansur menyelesaikan masalah, bukan mencipta dan meneruskan masalah. Susah sama diredah, senang sama di renang. Barulah bahagia hingga ke Jannah. Nah, hakikatnya bukanlah sepayah mana tetapi mungkin kerana sikap pentingkan diri sendiri membuatkan kita merasakan tidak relevan andai wang dikongsi bersama. Sekiranya masih merasakan duit kita hak kita maka berhentilah. Ubah sikap dan pemikiran lebih-lebih pada tahun baru ini. Mulakan buku baru dengan lebih bertolak ansur antara pasangan. Bukankah kita inginkan kebahagiaan. Inilah antara jalan yang boleh dipraktikkan. Tapi jangan sampai pasangan ambil kesempatan. Mentang-mentanglah suami atau isteri tidak lagi berkira jadi mudah sahajalah hendak pijak kepala. Jika ini terjadi tidak mustahil hilang harmoni yang dicari. Suami dan isteri mesti saling merasai. Sensitif dan jangan sekali-sekali cuba mengambil kesempatan. Cintailah pasangan sepenuh hati. Cintai kerana Allah, bukan kerana apa yang dia ada. Insya-Allah, rumah tangga akan lebih berkat dan mendapat redha dari Yang Maha Kuasa.
Artikel asal di http://www.mingguanwanita.my/info-psikologi/surat-cinta-buat-pasangan-yang-berkira-pasal-duit-1.480772
Comentarios