Hukum Jual Air Ruqyah
- Adiratna
- Dec 8, 2016
- 1 min read
(Sumber: www.muftins.gov.my)
Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang diberikan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 3 /2016 bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkaitan hukum penjualan produk menggunakan ayat ruqyah untuk tujuan komersil dengan sighah seperti berikut:
PERTAMA
Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasullullah s.a.w. menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat Al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama tidak berlaku syirik.
KEDUA
Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai "makanan Sunnah" dan makanan serta minuman yang diruqyahkan dengan ayat Al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di negara ini. Ia menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan "makanan Sunnah" dan ruqyah.

KETIGA
Sehubungan itu, sebagai sad al-zari'ah kepada unsur-unsur penipuan dan salah guna ayat-ayat Al-Quran untuk tujuan komersil, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah "makanan Sunnah" secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk adalah dilarang kerana termasuk memperdagangkan ayat-ayat Al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.
KEEMPAT
Oleh yang demikian, muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah "makanan Sunnah" ini tidak difahami oleh masyarakat di dalam konteks yang tidak tepat dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah.
KELIMA
Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pelabelan, pengiklanan atau promosi untuk tujuan komersil atas nama ruqyah pada sesuatu produk adalah dilarang.

Wallahu'alam.
Comments